Friday, November 7, 2008

:: Remaja Berilmu Inspirasi Ummah ::

Assalamu'alaikum wrt..

Bismillahirrahmanirrahim..

Kecemerlangan boleh berlaku kepada siapa saja. Pelajar biasa, keluarga biasa, sekolah biasa, tetapi tidak mustahil kiranya mereka berusaha dengan LUAR BIASA demi menggarap segenggam ilmu yang bermanfaat. Remaja perlu tahu menggunakan bakat atau potensi diri untuk memajukan diri dalam bidang yang diceburi berpandukan kepada cita-cita, keinginan dan usaha yang berterusan.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang melalui satu jalan kerana menuntut ilmu, nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke Syurga.” (Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi)

Pelajar cemerlang tidak semestinya berada di kedudukan nombor satu dan mengatasi orang lain tetapi dapat mengatasi prestasi sendiri serta menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam. Remaja cemerlang sentiasa ceria, bersemangat, berpersonaliti, berdisiplin, berdaya saing dan berjiwa besar serta dapat memberi tumpuan terhadap apa yang disampaikan oleh guru.

Masa belajar yang paling baik ialah ketika tidak rasa penat, tidak lapar dan tidak terlalu kenyang. Seelok-eloknya pada waktu awal Subuh yang hening lagi damai. Masa belajar tidak semestinya lama tetapi berkesan. Belajar sepanjang masa tanpa rehat akan melemahkan minda anda. Utamakan kualiti belajar, bukannya kuantiti masa belajar. Ulangkaji, faham serta menghafal merupakan kunci kecemerlangan, sebabnya pelajar akan terlupa 60% daripada pelajaran yang dipelajari jika tidak melakukan tiga perkara utama tersebut.

Adab remaja yang ingin berilmu ialah bersih hatinya, betul niatnya, tidak sombong dengan ilmunya, tidak mengabaikan pelajaran dan belajar dengan sistematik. Penguat rohani ialah membanyakkan solat, membaca Al-Quran, banyakkan selawat, berdoa sendiri ataupun doa ibu bapa serta redha dengan ketentuan Allah Robbul Jalil. Menghormati ibubapa pula merupakan unsur terpenting yang menjadikan seseorang pelajar itu cemerlang kerana jasa dan doa ibubapa sentiasa mengiringi hidup seorang anak.

Yakin pada kebolehan dan kemampuan sendiri akan menjadikan anda cemerlang. Yakinilah, jika orang lain boleh, mengapa tidak anda? Keyakinan yang tinggi diiringi usaha yang jitu. Masa adalah kehidupan. Mereka yang pintar hidup dengan masa sedangkan pelajar yang malas menggunakan masanya untuk mencipta kegagalan di alam sedar. Sesungguhnya remaja yang berpengetahuan memberi sumbangan besar ke arah kemajuan ummah.
wallahua'lam..

No comments: